Nuffnang

Saturday 26 July 2014

Duit Raya vs Sedekah

Bismillah.

Ada beberapa isu yang berkaitan dengan hukum memberikan duit raya di pagi Syawal. Pertama tentang hukum bersedekah, kedua tentang menetapkan 1 syawal sebagai hari bersedekah, dan yang ketiga isu ang pow atau sampul yang digunakan.

Keutamaan bersedekah

Sedekah merupakan satu tuntutan di dalam Islam, di mana dalam banyak hadis Nabi SAW juga di dalam Al Quran secara umum,

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّاْئَةُ حَبَّةٍ وَاللهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَآءُ وَاللهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai menghasilkan seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (surah Al-Baqarah, 2: 261)

Maksudnya bersedekah atau infaq pada jalan Allah SWT merupakan satu amalan yang ganjarannya sangat besar dan ia bertambah-tambah. Begitu juga di dalam hadis Nabi SAW bersabda,

تهادوا تحابوا

Ertinya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah nescaya kalian saling mencintai.” (riwayat Al-Bukhari dalam Al Adab al Mufrad, hasan)

Maka salah satu cara untuk menghubungkan silaturrahim adalah dengan melalui sedekah. Maknanya hukum asal bersedekah adalah harus dan dituntut dalam Islam.

Kedua, mengkhususkan sedekah pada pagi raya, iaitu mereka menahan atau tidak bersedekah pada bulan puasa atau hari-hari lain dan menunggu hingga hari raya untuk memberi sedekah. Ini yang menjadi perbahasan di kalangan para ulama. Sebahagian daripadanya menyatakan keharusan kerana ia adalah adat dalam masyarakat.

Sebahagian yang lain berbeza pendapat apabila sedekah tersebut dihubungkan dengan poin yang ketiga iaitu berkaitan dengan sampul ang pow, kerana ada di sana unsur-unsur yang dikenali sebagai tasyabbuh (penyerupaan) kepada perayaan lain, kerana sabda Nabi di dalam hadis,

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Ertinya: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka.” (riwayat Imam Ahmad)

Kalau kita lihat bagaimana Nabi apabila masuk ke Madinah Munawwarah, baginda melihat golongan Yahudi pada ketika itu mereka meninggalkan bermesra dengan isteri-isteri mereka, tidak berbual dengan isteri mereka dan menganggap isteri mereka najis pada ketika isteri mereka dalam keadaan haidh atau uzur syar’i, tetapi apabila Islam datang, Nabi masuk ke Madinah dan Nabi menyelisihi perbuatan yahudi, Nabi tidak tasyabbuh dan tidak menyerupai perbuatan mereka. Kata Nabi kepada para sahabat, kamu berhak bermesra dengan isteri kamu, kamu berhak mendatangi isteri kamu melainkan antara pusat dan lutut. Maknanya boleh berbual walaupun dalam keadaan yang haidh. Berbeza dengan pendekatan yahudi pada ketika itu.

Jadi ini contoh penyelisihan yang dibawa, Nabi sentiasa membawa penyelisihan, Nabi tidak membawa persamaan.

Ada ketika dulu kita memberi komentar apabila ada kenyataan-kenyataan yang menyebut kongsi raya di mana mereka mengatakan perayaan semua sama. Tidak, Islam adalah perayaan yang berbeza. Mereka yang beragama buddha atau hindu dan sebagainya, mereka berhak merayakan perayaan mereka kerana kita di dalam negara ini memberikan hurriyatul i’tiqad yakni kebebasan untuk berakidah, terpulang kepada mereka untuk mengamalkan dan merayakan hari perayaan mereka.

Tetapi kita sebagai umat Islam harus meletakkan kepercayaan kita bahawasanya hari raya adalah hari kebesaran dan kemenangan bagi umat Islam dan berbeza dengan agama lain dan kita wajib meraikannya, wajib berseronok pada hari tersebut.

Nabi SAW apabila tiba di Madinah Al Munawwarah, baginda bertemu dengan golongan Ansar di mana mereka pada ketika itu menyambut dua hari raya yang merupakan perayaan nenek moyang mereka yang pada ketika itu terpengaruh dengan aliran dan ajaran majusi. Nabi bertanya kepada mereka,

” ما هذان اليومان؟ “. قالوا: كنا نلعب فيهما في الجاهلية. فقال رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” إن الله قد أبدلكم بهما خيراً منهما: يومَ الأضحى وبومَ الفطر”

“Apa dua hari ini?” Mereka menjawab: “Dahulu di zaman jahiliyyah kami (merayakannya dengan) bermain di dalamnya.” Maka baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya untuk kalian, dengan ganti yang lebih baik dari keduanya; Hari Raya Idul Adha dan Hari Raya Idul Fitri”. (riwayat Abu Dawud, dan yang lainnya. Dinilai sahih oleh Al-Hakim, Adz-Dzahabi, Al-Albani)

Maka pada kedua-dua hari raya ini kita dituntut bergembira, berseronok dalam ruang lingkup dan etika menurut syara’. Begitu juga kaitannya dengan bersedekah, mengapa perlu dikhususkan bulan Syawal untuk bersedekah sedangkan Nabi merupakan orang yang paling dermawan dan kuat bersedekah di dalam bulan Ramadhan.

Mengapa dalam bulan Ramadhan kita simpan duit yang kita ambil daripada bank dan tunggu hari raya baru kita berikan sedekah. Mengapa tidak kita berikan dalam bulan Ramadhan Al Mubarak, kerana ganjarannya lebih besar.

Bagi orang yang cerdik pandai, bagi mereka yang mengerti selok belok perniagaan mereka akan memilih perniagaan yang paling cepat untuk mendatangkan keuntungan, maka begitu juga dalam beragama, kita perlu memilih amal perbuatan yang paling dekat untuk mendapat keredhaan Allah SWT, mendapat mustajab diterima oleh Allah SWT dan diberikan ganjaran oleh Allah SWT berlipat kali ganda. Maka bagi orang yang bijak, bijaklah ia dalam memilih.

Sumber: http://ustazfathulbari.wordpress.com/2012/08/18/duit-raya-di-pagi-syawal/

Monday 21 July 2014

Lailatul Qadar ~ Marhaban Ya Ramadhan

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim). 

Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa. Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan.

Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).” Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah. Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja. Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.

Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.


Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan. Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan. Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.” Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).” Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu. Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari

Saturday 5 July 2014

Amalan Rasulullah SAW di bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah bulan suci yang penuh dengan keberkahan dan keutamaan. Orang mukmin dianjurkan untuk merebut ganjaran sebaik-baiknya, dan sebanyak-banyaknya kesempatan dalam berbuat kebajikan apapun bentuknya. Bila kita menelusuri jejak Rasululah saw. dalam menyambut bulan suci Ramadhan ini, maka akan kita dapati hal-hal sbb:

Imej Ramadhan

1. Rasulullah saw selalu bergegas memenuhi panggilan kebaikan, seperti solat berjama’ah, solat sunnah, mengeluarkan sedekah, membaca al-Qur’an dan sebagainya.Rasululah saw bersabda:
“Apabila datang malam pertama bulan Ramadhan,dibelenggulah syaitan dan jin, ditutuplah pintu-pintu neraka, dan dibukalah pintu-pintu syurga, kemudian diserukan: wahai orang yang mendambakan kebaikan, datanglah!! dan wahai orang yang tak suka kebaikan, bermalaslah!! (artinya, engganlah memperbanyak amalmu). Dan sesungguhnya dalam bulan Ramadhan ini setiap malamnya Allah swt. membebaskan orang-orang yang dikehendakiNYA dari api neraka. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

2. Rasulullah saw melipatgandakan amal perbuatan yang baik, baik yang fardhu maupun yang sunnah. Diriwayatkan oleh Salman, bahwa pada suatu hari di penghujung bulan Sya’ban Rasulullah saw. bersabda;
“Wahai sekalian manusia, telah datang kepadamu bulan yang agung, penuh keberkahan, di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan; diwajibkan padanya puasa; dan dianjurkan untuk menghidupkan malam-malamnya. Maka barang siapa yang mengerjakan satu kebajikan pada bulan ini, seolah-olah ia mengerjakan satu perintah kewajiban di bulan lain, dan siapa yang mengerjakan ibadah yang wajib,seakan-akan ia mengerjakan tujuh puluh kali kewajiban tersebut di bulan yang lain.”

Begitulah pahala mengerjakan ibadah sunnah sama dengan pahala mengerjakan ibadah wajib, sedangkan ibadah wajib akan dibalas tujuh puluh kali lipat pahalanya.

3. Rasulullah saw sangat pemurah dan sangat gemar bersedekah serta memberi makan orang yang berpuasa. Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhary ra., bahwa Rasulullah saw. adalah orang yang paling pemurah, lebih-lebih pada bulan Ramadhan. Diceritakan bahwa kebaikan beliau bagaikan hembusan angin yang lembut, membawa banyak rahmat, menabur kegembiraan di hati orang mukmin. Diriwayatkan pula bahwa beliau sangat penderma, bahkan tidak pernah menolak permintaan apapun yang diajukan ke beliau.

4. Banyak berdo’a, terutama ketika hendak berbuka puasa. Rasulullah saw bersabda:
“Saat-saat berbuka adalah saat yang paling tepat dan mujarab bagi orang yang berpuasa untuk berdoa.” Dan doa yang selalu diucapkan ketika berdoa adalah “Ya Allah, hanya keranamu aku berpuasa, dan dengan rezekimu aku berbuka, telah hilang haus dan dahaga, maka tetap hauslah pahala bagiku, ya Allah!!”.

5. Rasulullah saw selalu tadarus (membaca al-Qur’an). Setiap malam bulan Ramadhan Malaikat Jibril as. selalu datang menemui Rasulullah saw., dan bersama-sama membaca al-Qur’an, silih berganti. Hikmah tadarus Rasulullah di antaranya adalah untuk mengajarkan umatnya agar rajin membaca al-Qur’an atau tadarus, terutama di bulan suci Ramadhan itu, di setiap waktu, apalagi di malam hari, dan ketika mengerjakan solat malam (tahajjud).

6. Rasulullah saw meningkatkan kesungguhan ibadahnya terutama pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Hal mana dilaksanakan untuk meraih terutama lailatul qadar. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah saw. bersabda:
“Barangsiapa yang beribadah pada malam lailatul qadar dengan penuh keimanan dan harapan, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah ia lakukan.” Seperti kita ketahui, bahawa ibadah pada malam ini sama nilainya dengan kita beribadah seribu bulan lamanya. Dan doa yang paling afdhal (paling utama) diucapkan pada malam itu adalah: “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun dan Pemurah serta sangat suka memaafkan. Maka ampunilah kesalahan-kesalahan kami, ya Allah. (Allaahumma innaka ‘afuwwun kariim, tuhibbu al-’afwa fa’fu ‘annaa yaa kariim).

Diriwayatkan: barang siapa yang salat Maghrib dan Isya’ berjama’ah pada malam Lailatul Qadar itu, maka ia telah mendapatkan sebagian besar keutamaan malam Lailatul Qadar itu. Riwayat yang lain mengatakan, “Siapa yang salat Isya’ berjama’ah pada malam Lailatul Qadar itu, seakan-akan ia telah menghidupkan separuh malam tersebut, dan bila ia menunaikan salat Subuhnya, maka ia telah menyempurnakan seluruh malam Lailatur Qadar tersebut.

Itulah beberapa jejak Rasulullah saw pada bulan Ramadhan, yang pada dasarnya Rasululah saw mengajarkan umatnya agar bersungguh-sungguh meraih kebaikan-kebaikan yang ada padanya, dengan berbuat keta’atan, kebaikan, ibadah, terutama ibadah-ibadah sosial, seperti menolong orang lain, meringankan beban hidup orang lain, menyantuni anak yatim dan orang-orang yang papa atau memberi makan orang yang akan berbuka puasa. Di samping itu beliau juga mengajarkan umatnya agar menjauhkan diri dari perbuatan-perbuatan munkar, makruh, dan mubah, apalagi yang haram. Bahkan beliau memperingatkan dengan sabdanya:
“Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan keji atau kotor (seperti berdusta, membicarakan orang lain atau mengadu domba), maka tidak ada artinya puasanya itu, kecuali ia hanya merasakan lapar dan dahaga saja.”

Demikianlah, semoga Allah swt. menerima dan melipatgandakan amal ibadah kita, dan semoga Allah swt. memberikan kekuatan di dalam menjalankannya. Salawat serta salam kepada Nabi kita Muhammad saw. Walhamdulillahirabbil’aalamiin.