Nuffnang

Monday 8 December 2014

USRAH: Sifat Sombong dan Takkabur

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”.

Dah banyak entry Keyza asyik berkisarkan duniawi sehingga terlupa nak berusrah dan mengingati Allah yang Maha Esa, so pagi ni Keyza nak share sikit tentang sifat SOMBONG dan TAKKABUR.
Terlintas di hati Keyza untuk berkongsi cerita ini apabila terbaca tentang seorang lelaki yang mempunyai kelulusan doktor falsafah menceburkan diri secara sambilan sebagai pencuci tandas masjid tanpa sebarang bayaran. Bila ditanya mengapa doktor buat kerja-kerja sebegini...
Jawapannya " nak meneutralkan diri bahawa saya bukan sesiapa" ....
Hmm jawapan yang..... WOW!!!!



Beliau mengambil contoh ulama yang terkemuka di Arab Saudi ketika keretanya dikerumuni oleh para pengikut dan pengkagumnya sehinggakan terangkat riak dalam hatinya, lalu beliau turun lantas mencuci tandas di Masjid-Al Khawater.

Allahuakhbar....Allah Maha Besar...sesungguhnya kita hanyalah hambaNya sahaja bukanlah sesiapa pun walau setinggi mana darjat di dunia.

Berbalik kepada usrah pagi ini tentang sifat SOMBONG dan TAKKABUR. 


 

Sifat sombong dan takabbur boleh dibahagikan kepada tiga  bahagian:-

Pertama : Sombong kepada Allah S.W.T

Iaitu apabila kita mengabaikan atau tidak menghiraukan terhadap suruhan-suruhan yang telah diperintahkan oleh Allah Subanahu Wataala, tidak takut kepada ancamannya serta meremehkan pula syariat agama. Sesungguhya Allah telah menjanjikan balasan yang buruk kepada orang yang bersikap sombong.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ


Maksudnya Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepada-ku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.

Kedua: Sombong kepada Rasulullah S.A.W

Iaitu dengan tidak mahu mengamalkan ajaran dan sunnah Nabi Muhammad saw, menghina dan memperlekehkan ajaranNya dan Sunnahnya sebagimana  sikap orang kafir Quraisy yang menentang dengan anggapan  bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang anak yatim yang tidak berharta dan tidak layak untuk menjadi pemimpin. Akhirnya mereka mati dalam keadaan kufur disebabkan oleh keegoan dan kesombongan sendiri

Ketiga:Sombong terhadap sesama manusia


Ada beberapa kelakuan yang menunjukkan diri seseorang sebagai orang yang sombong;

  • Memandang diri lebih dari orang lain, lebih mulia, lebih alim, lebih kaya, lebih cantik dan sebagainya.
  • Tidak boleh menerima teguran, kritikan atau nasihat orang lain.
  • Tidak suka bergaul dengan orang ramai lebuh-lebih lagi dengan orang yang dirasakan lebih rendah statusnya.
  • Suka dipuji dan sentiasa mengharapkan pujian orang lain.

Balasan orang yang sombong

Takutlah .... dari terus menjadi orang yang sombong, bongkak dan takabbur kerana balasan yang bakal diterima amatlah buruk.
Firman Allah swt;

فَادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا فَلَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ.

Maksudnya: Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu didalamnya, maka sesungguhnya neraka itu seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takabbur.
Al-Nahl:29

Mengelakkan sifat sombong dan takabbur

  • Menjaga tutur kata dan perilaku kita supaya sentiasa dalam keadaan baik
  • Bergaul dalam masyarakat tanpa mengira darjat, pangkat dan keturunan. Sebagaimana peribadi Rasulullah saw yang tidak pernah berlaku sombong. Baginda dengan Ikhlas menziarahi sahabat baginda yang ditimpa sakit atau kesusahan, membantu sesiapa saja yang memerlukan pertolongan, memenuhi undangan apabila dijemput bahkan baginda sendiri pernah turut sama membantu umat Islam menggali longkang ketika bersiap sedia hendak menghadapi peperangan Khandak
  • Tingkatkanlah iman dan takwa
  • Takutkan siksaan Allah SWT

 

Sedarlah hakikat kehidupan didunia, tiada yang lebih baik kecuali iman dan takwa.
Firman Allah swt :


إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ قُلُوبُهُمْ مُنْكِرَةٌ وَهُمْ مُسْتَكْبِرُونَ لَا جَرَمَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْتَكْبِرِينَ


Tuhan kamu yang berhak disembah ialah Tuhan yang satu Maha Esa, oleh itu, orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat hati mereka ingkar dan sikap zahir mereka sombong takabbur menentang kebenaran, sebenarnya bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan, sesungguhnya ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur. Surah An-nahli: 22-23

No comments:

Post a Comment