Pernahkah kita rasa, “Kenapa aku selalu cepat marah? Mudah kecewa? Sukar sangat untuk sabar?” Kadang-kadang, kita salahkan keadaan: anak-anak nakal, suami tidak memahami perasaan kita, hidup penuh ujian. Tetapi, pernahkah kita tanya hati sendiri; di mana pergantungan aku sebenarnya?
Guru saya pernah pesan:
“Wanita yang tidak faham Tauhid akan merosakkan dirinya sendiri, dan tanpa sedar, boleh menggugat keharmonian rumahtangga.”
Allah sudah mengingatkan dalam Al-Quran:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
(Surah Ar-Ra’d: 28)
Masalahnya, apabila hati tidak tenang, ia bukan kerana orang sekeliling tidak cukup baik, tetapi kerana hati kita belum sepenuhnya bergantung kepada Allah. Apabila kita letakkan kebahagiaan, kasih sayang, dan kejayaan pada usaha manusia semata, kita akan sentiasa kecewa.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, pasti Allah akan memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung: keluar pagi dalam keadaan lapar, pulang petang dalam keadaan kenyang."
(HR Tirmizi)
Tauhid adalah kunci yang memegang emosi kita. Wanita, dengan fitrah sebagai makhluk yang lebih emosional, akan lebih stabil apabila hatinya dipaut pada Allah. Tetapi… apabila Tauhid lemah, hati menjadi mudah goyah.
Jom kita muhasabah bersama. Ini 5 tanda kita belum faham Tauhid, dan tanpa sedar, kita ulanginya setiap hari. 😢
#1. Merasa anak pandai sebab usaha kita
"Dan Dia memberimu (anak-anak) dari yang kamu tidak tahu." (An-Nahl: 72)
Anak-anak adalah amanah Allah. Kejayaan mereka bukan sepenuhnya hasil didikan kita tetapi kurniaan dan ketetapan Allah. Usaha kita hanyalah wasilah (sebab) yang Allah izinkan. Bila kita merasa anak berjaya hanya kerana kita, ia boleh membawa kepada sifat sombong dan hilangnya keberkatan dalam usaha mendidik mereka.
Sebagai contoh, seorang ibu yang merasa anak cemerlang di sekolah kerana dia mengatur jadual belajar dengan ketat. Bila anak gagal dalam peperiksaan, dia menjadi terlalu kecewa dan menyalahkan diri. Padahal kejayaan dan kegagalan anak adalah ujian dari Allah.
Berusahalah mendidik anak dengan ikhlas lillahi ta'ala dan iringi dengan doa, seperti doa Nabi Ibrahim: "Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang mendirikan salat." (Ibrahim: 40)
Jangan bergantung dengan upaya diri. Ushaa bersungguh-sungguh tetapi tetap bersandar pada kuasa dan ketentuan Allah ❤️
#2. Merasa suami sayang sebab kita pandai jaga rumahtangga
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang." (Ar-Rum: 21)
Kasih sayang dalam rumahtangga adalah rahmat Allah. Kita perlu berusaha menjaga hubungan, tetapi perasaan cinta itu hakikatnya Allah yang kurniakan. Berfikir bahawa kasih sayang suami sepenuhnya bergantung pada usaha kita boleh menyebabkan kita mudah kecewa bila hubungan diuji.
Contohnya, seorang isteri yang merasa dia perlu memasak sempurna setiap hari dan menjaga rumah dengan teliti supaya suaminya tidak berubah hati. Bila suami kurang menunjukkan perhatian, dia mula merasa tidak dihargai, sedangkan cinta itu hadir kerana rahmat Allah, bukan sekadar perbuatan kita.
Lakukan yang terbaik dalam rumahtangga kerana Allah, bukan untuk dihargai manusia. Ingat bahawa cinta adalah ujian, dan perbanyakkan doa seperti: "Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati kami." (Al-Furqan: 74)
#3. Merasa kecantikan yang dimiliki adalah hasil usaha sendiri
"Allah menciptakan kamu, kemudian menyempurnakan kejadianmu." (Al-Infitar: 7)
Kecantikan yang kita miliki adalah kurniaan Allah. Usaha menjaga diri memang baik, tetapi ia tidak boleh menjadi sumber keangkuhan atau keyakinan bahawa kita boleh mengawal sepenuhnya. Kecantikan adalah fana dan ujian bagi kita.
Sekadar contoh ya, seorang wanita terlalu bergantung pada produk kecantikan mahal dan merasa gelisah bila mengalami perubahan kulit akibat usia. Dia lupa bahawa kecantikan sejati adalah akhlak yang mulia, bukan sekadar penampilan luaran.
Jom, jaga diri kerana mensyukuri nikmat Allah, bukan untuk pujian manusia. Ingatlah, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa parasmu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalmu." (HR Muslim)
#4. Menganggap rezeki keluarga bergantung kepada kerja keras kita
"Dan tidak ada suatu makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin oleh Allah rezekinya." (Hud: 6)
Rezeki bukan hanya datang dari usaha, tetapi ia adalah takdir Allah. Merasa bahawa rezeki sepenuhnya bergantung pada kita boleh membawa kepada keletihan emosi dan keputusasaan bila usaha tidak membuahkan hasil.
Sekiranya seorang isteri yang bekerja keras membantu ekonomi keluarga tetapi kecewa bila gaji tidak mencukupi. Dia merasa seolah-olah gagal, sedangkan rezeki itu bukan sekadar angka, tetapi keberkatan yang Allah limpahkan.
Teruskan berusaha dengan niat yang betul. Rasulullah SAW bersabda: "Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepadamu seperti burung yang keluar pagi dalam keadaan lapar, lalu pulang dalam keadaan kenyang." (HR Tirmidzi)
#5. Meyakini kebahagiaan datang dari kawalan penuh kita terhadap hidup
"Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah: 216)
Hidup tidak selamanya berjalan seperti yang kita rancang. Bila kita merasa segalanya perlu dalam kawalan kita, kita menjadi mudah stres bila diuji dengan perkara yang di luar jangkaan.
Contoh ini selalu terjadi, kerana kita terbiasa merancang setiap aspek kehidupan, dari kerjaya hingga keluarga, namun lupa bergantung pada Allah. Mengharapkan plan A jadi seperti plan A. Kita mulat merasa hancur bila ada perkara yang tidak seperti dirancang. Kita lupa bahawa Allah yang mengatur segalanya dengan hikmah. Tugas kita hanya berusaha sebaiknya ❤️
Jom belajar untuk redha dengan ketetapan Allah. Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Semua urusannya adalah baik. Jika ia mendapat kesenangan, ia bersyukur, dan itu baik baginya. Jika ia ditimpa kesulitan, ia bersabar, dan itu juga baik baginya." (HR Muslim)
Sahabat Muslimat yang saya sayangi, hati yang tenang itu hanya milik mereka yang benar-benar meletakkan Allah sebagai pergantungan. Sebanyak mana pun usaha kita, sehebat mana pun kasih sayang yang kita cari dari manusia, semua itu akan terasa kosong jika kita lupa kepada Pemilik sebenar segala-galanya.
Allah berfirman:
"Barang siapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia berbuat kebaikan, maka baginya pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada rasa takut atas mereka dan mereka tidak akan bersedih hati."
(Surah Al-Baqarah: 112)
Sebagai wanita, kita adalah nadi keluarga. Jika hati kita penuh pergantungan kepada Allah, emosi kita akan lebih terkawal, kata-kata kita akan lebih mendamaikan, dan seluruh keluarga akan merasa keberkatannya. Tetapi jika hati kita rapuh kerana salah i’tikad, kita mungkin tanpa sedar menjadi punca retaknya keharmonian.
Rasulullah SAW juga bersabda:
"Ingatlah, dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah, itu adalah hati."
(HR Bukhari dan Muslim)
Jangan biarkan dunia ini memperdaya kita sehingga lupa tujuan hidup sebenar. Kembalilah kepada Tauhid. Fahami hakikat bahawa segala yang kita miliki adalah pinjaman, dan segala usaha kita hanya berhasil kerana izin-Nya.
Semoga Allah menjadikan kita wanita yang kuat, tenang, dan sentiasa bersandar kepada-Nya. Inilah jalan untuk kebahagiaan sejati. Bukan sahaja untuk diri kita, tetapi untuk seluruh keluarga yang kita cintai.
Salam sayang
Buat semua wanita ❤️
Credit to : Ustazah Marhamah Rosli
No comments:
Post a Comment