Aku tanya apa khabar semua????
Heheheh nampak tak tajuk kali ni HUTANG.
Meh kita kupas jawapan bagi persoalan ini.
SOALAN
- Seseorang yang berhutang tanpa diketahui oleh warisnya, jika meninggal, tiada siapa yg melunaskan hutang tersebut bagi pihak dirinya, jadi bagaimana dosa hutang yang ditanggung tersebut, adakah diselesaikan di akhirat nanti dgn cara membayar pahala amalan kepada si penghutang
- Semasa hidup, kalau kita merasakan kita ada hutang dgn seseorang pada masa lampau tetapi kita telah lupa siapa orang yang menjadi tempat kita berhutang itu atau org tersebut tidak diketahui di mana berada atau tidak diketahui berapa jumlahnya, adakah boleh kita melangsaikan hutang yang sudah dilupai itu dgn cara mengeluarkan sejumlah wang dan disedekahkan (umpamanya utk pembinaan masjid) sbg pelunasan semua hutang yg tidak diingat itu dan wang itu diniatkan sbg sedekah mewakili org yg memberi hutang atau bagi pihak org yg memberi hutang. Adakah hutang tersebut terlunas dengan cara itu.
JAWAPAN
1.Terdapat hadis menegaskan:
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ
“Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).
Menurut penjelasan ulamak; maksud “mengambil harta orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.
Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezkinya sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”. Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).
Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.
Abu Hurairah RA menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’. Lalu Nabi bersabda; “Seorang muflis dari kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) ia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah oang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian dari pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya ia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (HR Imam Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).
2.Untuk soalan kedua; hendaklah berusaha mengingati siapa pemilik hutang tersebut,kemudian mencarinya dan menyerahkan kembali wangnya. Jika ia sudah meninggal hendaklah diserahkan kepada waris-warisnya. Jika masih tidak berupaya mengingati siapa pemilik hutang itu atau ia tidak dijumpai setelah puas mencarinya dan begitu juga waris-warisnya juga tidak dijumpai, hendaklah duit hutang itu disedekahkan kepada fakir miskin atau kepada mashalah-maslahah am agama dan kaum muslimin (pembinaan masjid, imarah masjid, pengajian Islam, program dakwah dan seumpamanya) dan diniatkan sedekah itu untuk pemilik hutang tersebut. Namun jika setelah disedekahkan hutang tersebut, tiba-tiba muncul pemiliknya, wajib dibayar hutangnya dan pahala sedekah tadi berpindah menjadi milik orang yang memberinya.
Rujukan:
1.Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami’ as-Saghier), Imam al-Munawi, hadis no. 8351.
2.Minhatul-Bari Fi Khidmati Soheh al-Bukhari (Syeikh Mustafa al-Bugha), hadis no. 2275.
3.Subulus-Salam (Syarah Bulughul-Maram), kitab al-Buyu’ Abwab; as-Salam wa al-Qardh wa ar-Rahn, no. hadis 876.
4.Fatwa Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 132202.
Sumber: http://www.ilmudanulamak.blogspot.my/