Nuffnang

Saturday 26 July 2014

Duit Raya vs Sedekah

Bismillah.

Ada beberapa isu yang berkaitan dengan hukum memberikan duit raya di pagi Syawal. Pertama tentang hukum bersedekah, kedua tentang menetapkan 1 syawal sebagai hari bersedekah, dan yang ketiga isu ang pow atau sampul yang digunakan.

Keutamaan bersedekah

Sedekah merupakan satu tuntutan di dalam Islam, di mana dalam banyak hadis Nabi SAW juga di dalam Al Quran secara umum,

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّاْئَةُ حَبَّةٍ وَاللهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَآءُ وَاللهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai menghasilkan seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (surah Al-Baqarah, 2: 261)

Maksudnya bersedekah atau infaq pada jalan Allah SWT merupakan satu amalan yang ganjarannya sangat besar dan ia bertambah-tambah. Begitu juga di dalam hadis Nabi SAW bersabda,

تهادوا تحابوا

Ertinya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah nescaya kalian saling mencintai.” (riwayat Al-Bukhari dalam Al Adab al Mufrad, hasan)

Maka salah satu cara untuk menghubungkan silaturrahim adalah dengan melalui sedekah. Maknanya hukum asal bersedekah adalah harus dan dituntut dalam Islam.

Kedua, mengkhususkan sedekah pada pagi raya, iaitu mereka menahan atau tidak bersedekah pada bulan puasa atau hari-hari lain dan menunggu hingga hari raya untuk memberi sedekah. Ini yang menjadi perbahasan di kalangan para ulama. Sebahagian daripadanya menyatakan keharusan kerana ia adalah adat dalam masyarakat.

Sebahagian yang lain berbeza pendapat apabila sedekah tersebut dihubungkan dengan poin yang ketiga iaitu berkaitan dengan sampul ang pow, kerana ada di sana unsur-unsur yang dikenali sebagai tasyabbuh (penyerupaan) kepada perayaan lain, kerana sabda Nabi di dalam hadis,

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Ertinya: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka.” (riwayat Imam Ahmad)

Kalau kita lihat bagaimana Nabi apabila masuk ke Madinah Munawwarah, baginda melihat golongan Yahudi pada ketika itu mereka meninggalkan bermesra dengan isteri-isteri mereka, tidak berbual dengan isteri mereka dan menganggap isteri mereka najis pada ketika isteri mereka dalam keadaan haidh atau uzur syar’i, tetapi apabila Islam datang, Nabi masuk ke Madinah dan Nabi menyelisihi perbuatan yahudi, Nabi tidak tasyabbuh dan tidak menyerupai perbuatan mereka. Kata Nabi kepada para sahabat, kamu berhak bermesra dengan isteri kamu, kamu berhak mendatangi isteri kamu melainkan antara pusat dan lutut. Maknanya boleh berbual walaupun dalam keadaan yang haidh. Berbeza dengan pendekatan yahudi pada ketika itu.

Jadi ini contoh penyelisihan yang dibawa, Nabi sentiasa membawa penyelisihan, Nabi tidak membawa persamaan.

Ada ketika dulu kita memberi komentar apabila ada kenyataan-kenyataan yang menyebut kongsi raya di mana mereka mengatakan perayaan semua sama. Tidak, Islam adalah perayaan yang berbeza. Mereka yang beragama buddha atau hindu dan sebagainya, mereka berhak merayakan perayaan mereka kerana kita di dalam negara ini memberikan hurriyatul i’tiqad yakni kebebasan untuk berakidah, terpulang kepada mereka untuk mengamalkan dan merayakan hari perayaan mereka.

Tetapi kita sebagai umat Islam harus meletakkan kepercayaan kita bahawasanya hari raya adalah hari kebesaran dan kemenangan bagi umat Islam dan berbeza dengan agama lain dan kita wajib meraikannya, wajib berseronok pada hari tersebut.

Nabi SAW apabila tiba di Madinah Al Munawwarah, baginda bertemu dengan golongan Ansar di mana mereka pada ketika itu menyambut dua hari raya yang merupakan perayaan nenek moyang mereka yang pada ketika itu terpengaruh dengan aliran dan ajaran majusi. Nabi bertanya kepada mereka,

” ما هذان اليومان؟ “. قالوا: كنا نلعب فيهما في الجاهلية. فقال رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” إن الله قد أبدلكم بهما خيراً منهما: يومَ الأضحى وبومَ الفطر”

“Apa dua hari ini?” Mereka menjawab: “Dahulu di zaman jahiliyyah kami (merayakannya dengan) bermain di dalamnya.” Maka baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya untuk kalian, dengan ganti yang lebih baik dari keduanya; Hari Raya Idul Adha dan Hari Raya Idul Fitri”. (riwayat Abu Dawud, dan yang lainnya. Dinilai sahih oleh Al-Hakim, Adz-Dzahabi, Al-Albani)

Maka pada kedua-dua hari raya ini kita dituntut bergembira, berseronok dalam ruang lingkup dan etika menurut syara’. Begitu juga kaitannya dengan bersedekah, mengapa perlu dikhususkan bulan Syawal untuk bersedekah sedangkan Nabi merupakan orang yang paling dermawan dan kuat bersedekah di dalam bulan Ramadhan.

Mengapa dalam bulan Ramadhan kita simpan duit yang kita ambil daripada bank dan tunggu hari raya baru kita berikan sedekah. Mengapa tidak kita berikan dalam bulan Ramadhan Al Mubarak, kerana ganjarannya lebih besar.

Bagi orang yang cerdik pandai, bagi mereka yang mengerti selok belok perniagaan mereka akan memilih perniagaan yang paling cepat untuk mendatangkan keuntungan, maka begitu juga dalam beragama, kita perlu memilih amal perbuatan yang paling dekat untuk mendapat keredhaan Allah SWT, mendapat mustajab diterima oleh Allah SWT dan diberikan ganjaran oleh Allah SWT berlipat kali ganda. Maka bagi orang yang bijak, bijaklah ia dalam memilih.

Sumber: http://ustazfathulbari.wordpress.com/2012/08/18/duit-raya-di-pagi-syawal/

No comments:

Post a Comment