Nuffnang

Thursday, 16 August 2018

Sedekah dan Syukur


اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ

Sempena Hari Jumaat penghulu segala hari makanya Keyza nak berkongsi tentang Sedekah dan Syukur.
Kenapa Keyza nak citer bab ni sebabnya kalau yang follow facebook Keyza pastinya tahu bulan lepas keluarga Keyza baru sahaja ditimpa musibah dimana en suami Keyza diserang demam panas dan terkena jangkitan kuman di mana beliau perlu menjalani pembedahan membuang isi di kaki kerana kuman telah memasuki isi kaki suami Keyza dan Alhamdulillah beruntungnya Keyza sempat bawa ke hospital sebelum kuman merebak ke tulang kalau tak huhuhu harus kudung la kaki suami Keyza....

Jadinya sekarang ni en suami Keyza kemana-mana bertongkat la aka dah rupa OKU la kan....
Nak dijadikan cerita Jumaat lepas semasa bersarapan di luar sementara menunggu turn untuk bertemu pakar di hospital ada hamba Allah datang dan memberikan sedekah buat en suami Keyza....
Terpinga-pinga en suami hendak terima dan tidak terima ....
dan hamba Allah itu berkata takpe terima lah sedekah Hari Jumaat....


Islam mengajar kita bahawa yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.  Rasulullah SAW dalam hadisnya ada menyatakan: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah pemberi dan tangan yang di bawah adalah penerima”. (Riwayat Muslim)

Bersedekah dalam Islam bukan sekadar memberi wang ringgit kepada mereka yang memerlukan. Konsep bersedekah dalam Islam adalah luas, membabitkan perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk kerohanian mahupun fizikal. Dengan bersedekah kita akan terhindar dari api neraka dan sekali gus mampu membukakan pintu rezeki. Seperti yang sering kita dengar bahawa dengan bersedekah kita tidak akan menjadi miskin malah rezeki akan dilipatgandakan sebanyak 700 kali ganda.

Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji,. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui”. (Al Baqarah: 261)

Sedekah adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seorang muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Ia juga adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seseorang sebagai kebajikan yang mengharap redha Allah S.W.T dan pahala semata. Di dalam Al Quran, banyak ayat yang menyuruh kaum muslimin untuk sentiasa memberikan sedekah.

Firman Allah S.W.T (maksudnya):  “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat ma’ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak kami akan memberi kepadanya pahala yang besar”. (An Nisaa: 114)

Jom kita ketahui apakah 5 kelebihan buat yang ringan tangan bersedekah;

#1- Merasakan Kelazatan Iman

Abdullah bin Mu’awiyah al-‘Amiri dari Nabi S.A.W, beliau bersabda;

“Ada tiga perkara yang sesiapa yang melakukannya, maka sungguh dia telah merasakan lazatnya iman, iaitu: Orang yang menyembah Allah yang Maha Esa dan sesungguhnya tidak ada Tuhan kecuali Allah, menunaikan zakat hartanya dengan baik hati yang datang kepadanya setiap tahun.”

#2- Menghapuskan Dosa

Dalam satu hadis dijelaskan, bahawa Nabi S.A.W. berkata kepada Mu’az;

“Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Mu’az menjawab: “Tentu ya Rasulullah.” Beliau bersabda: “Puasa itu benteng dan sedekah itu dapat menghapus kesalahan (dosa) sebagaimana air memadamkan api.”
Riwayat At-Tirmizi

Siapa di antara kita tidak pernah melakukan dosa sepanjang hidupnya? Mustahil jika tiada, pasti sahaja tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Namun, bergantung kepada peranan masing-masing bagaimana ingin menghapuskan dosa tersebut.
#3- Merasa Aman Hari Kiamat

“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sembunyi (rahsia) atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.”
Surah al-Baqarah :274

“Dan tidak pula mereka bersedih hati” menurut Ibnu Katsir, ia bermaksud tidak ada kekhawatiran terhadap anak-anak yang mereka tinggalkan dan bukan terhadap kehidupan dunia serta kemewahannya yang hilang.

Perkara ini amat penting agar Allah sentiasa memelihara kita kerana seorang mukmin amat memerlukan-Nya semasa berada di alam kematian, di dalam kubur dan hari kebangkitan kelak.

Oleh kerana itu, orang yang bersedekah itu mempunyai masa depan secerah matahari yang menyinar sewaktu di akhirat kelak.
#4- Memanjangkan Umur

Rasulullah S.A.W bersabda;

“Tidak ada yang dapat menghalang qada (ketentuan Allah) kecuali doa dan tidak ada yang memanjangkan umur kecuali amal baik”

Umur juga telah ditentukan melalui qada’ Allah S.W.T dan tidak ada sesiapa yang boleh menambahkan umurnya sendiri walaupun mempunyai segunung emas di tangannya.

Namun, umur boleh ditambahkan apabila kita menambahkan untuk berbuat kebajikan. Hakikat umur yang panjang itu perlu difahami dengan lebih teliti, bukan hanya disajikan dengan kesenangan. Adakah itu makna utama umur yang panjang? Tidak sama sekali.

Maksud ditambah atau dipanjangkan umur itu ada tiga menurut buku Rahsia dan Kelebihan Sedekah hasil tulisan Syahrin Jasah.

Pertama adalah keberkatan umur itu sendiri. Bertambah umur dengan sebab bersedekah ialah keberkatan umur bilamana seluruh waktu, selama masih ada kesempatan untuk bernafas, itulah keberkatan dalam kehidupan.
#5- Memadamkan Kemurkaan Allah

Dari Anas bin Malik R.A, katanya Rasulullah S.A.W. bersabda;

“Sesungguhnya sedekah itu benar-benar dapat memadamkan murka Tuhan dan mengelakkan mati dalam keadaan buruk (su’ul khotimah).”
Riwayat Tirmizi

Bersedekah juga mampu memadamkan kemurkaan Allah kerana kita tidak sedar perlakuan manakah yang mengundang kemurkaan Allah dan dosa mana yang tidak lagi dihapuskan oleh Allah, jika ini berterusan, takut sengsara hidup kita di akhirat kelak.

Kesimpulannya, semua orang menginginkan syurga dihadiahkan padanya di akhirat kelak.

Kehidupan dunia adalah wasilah bagaimana untuk mendapatkan syurga di akhirat sana dan tidak lain tidak bukan, memastikan diri kita untuk mendapatkan rahmat daripada Allah.


Salah satu cara untuk mendapatkan hadiah tersebut adalah dengan bersedekah. Insyaa Allah sama-sama amalkan dan praktikkan amalan bersedekah ini. Ayuh!

Syukur....

Apabila kita melihat orang yang sakit lalu kita bersedekah dan bersyukurlah bahawa kita masih sihat
Apabila kita melihat jenazah makanya perlulah kita bersedekah pada keluarganya dan bersyukurlah bahawa Allah masih memanjangkan usia untuk kita terus bersujud padaNya...
Apabila kita melihat orang cacat (OKU) lalu kita bersedekah dan bersyukurlah Allah memberikan kita kesempurnaan fizikal yang tiada pada insan tersebut...


Imam al-Ghazali menyatakan bahawa terdapat tiga darjat syukur iaitu:

Syukur dengan hati

- Meyakini bahawa tiada memberi nikmat atau rezeki melainkan Allah

Syukur dengan lidah

- Memperbanyak lafaz pujian kepada Allah pemberi nikmat

Syukur dengan amal.

- Syukur yang disertai dengan amal.

Allah SWT memberikan pelbagai nikmat kepada manusia yang sangat berharga dan bernilai. Sebagai hamba-Nya, wajib beriman atas kurniaan nikmat tersebut kerana Allah tidak pernah lupa kepada setiap hamba-Nya walaupun sesaat.




No comments:

Post a Comment