Nuffnang

Wednesday, 13 August 2025

Fahami dunia di usia 40 an


Rupanya, psikologi manusia ini sangat kompleks dan sukar untuk difahami.
Bukan semua yang kita lihat di permukaan, itulah hakikat sebenar yang tersimpan di dasar hati.
Ada yang..
Terus membentak dan meninggikan suara apabila ditegur, walau dengan nada paling beradab. Ini kerana sistem limbik dalam otaknya, khususnya amigdala, sudah terlalu kerap mengesan teguran sebagai ancaman. Maka walau kita bercakap dengan lembut, otaknya menghantar isyarat seolah-olah kita sedang menyerang. Ia dinamakan emotional hijacking.
Ada yang..
Tiba-tiba mengungkit segala jasa dan kebaikannya yang lampau, hanya kerana kita memberi satu teguran kecil terhadap tindakannya hari ini. Ini disebut sebagai narcissistic injury, apabila egonya tercalar, dia akan berusaha keras mempertahankan imej baik dirinya. Lalu dia ungkit segala kebaikan lampau sebagai "pelindung" kepada kesilapan sekarang.
Ada yang..
Terus-menerus memutar belit cerita kepada orang lain, semata-mata untuk kelihatan sebagai pihak yang baik. Sanggup mereka-reka naratif palsu demi meraih simpati. Dalam psikologi, ini disebut sebagai impression management, satu mekanisme untuk mengawal persepsi orang lain terhadap dirinya, walaupun dengan mengorbankan kebenaran dan keadilan.
Ada yang..
Tidak mahu membuat penilaian yang adil. Mendengar hanya dari satu pihak, lalu terus menjatuhkan hukuman dan menyerang tanpa usul periksa. Ini dinamakan cognitive bias, khususnya confirmation bias. Iaitu kecenderungan untuk mempercayai maklumat yang mengukuhkan tanggapan awal kita, dan menolak maklumat yang mungkin mencabar kepercayaan tersebut.
Ada pula yang..
Suka membawa emosi ke dalam setiap perbincangan. Semua perkara jadi drama. Sedikit salah faham, terus dianggap pengkhianatan. Sedikit teguran, terus dianggap serangan peribadi. Ini berkaitan dengan emotional reasoning, iaitu satu keadaan apabila seseorang menjadikan emosinya sebagai penentu kebenaran.
"Saya rasa diserang, maka kamu memang menyerang saya." 😌
Ada juga yang..
Cenderung memanipulasi dan membuat silent treatment.. diam membisu dan menjauh secara pasif-agresif, hanya untuk menunjukkan kuasa. Dalam psikologi, ini dinamakan passive-aggressive behavior. Ia selalunya berlaku apabila seseorang tidak tahu cara sihat untuk meluahkan ketidaksetujuan.
Ada yang..
Suka menuduh kita "drama" atau "over" apabila kita mahu menjelaskan sesuatu dengan tenang. Tapi pada masa yang sama, dia sendiri melenting dan tidak mampu mengawal reaksi. Ini disebut projection, apabila seseorang memindahkan kelemahan dirinya kepada orang lain, untuk mengelakkan perasaan bersalah.
Ada lagi yang..
Terbiasa menjadi pusat perhatian dalam keluarga. Maka apabila ada orang lain yang mula bersuara, dia akan rasa tercabar. Lalu mulalah tindakan sabotaj, cerita belakang, dan segala bentuk "character assassination". Ini disebut sibling rivalry, dan jika berpanjangan hingga dewasa, ia menandakan unresolved childhood trauma.
Belum habis..
Harap sahabat semua sabar membaca 🥲
Ada yang Suka memendam..
Tidak bercakap. Tidak beri respon. Tapi menyimpan segala perasaan diam-diam dan kemudian meletup tiba-tiba. Ini dinamakan suppression, dan apabila tekanan emosi ini tidak diurus, ia akan meletus dalam bentuk tantrum atau ledakan kemarahan yang tidak terkawal.
Dan ada yang..
Apabila diminta berbincang secara baik, dia tidak mahu. Tetapi apabila ada pihak luar campur tangan atau isu itu menjadi besar, baru dia mahu beraksi, bukan kerana mahu menyelesaikan, tapi kerana mahu menjaga persepsi. Ini disebut social appearance anxiety, iaitu ketakutan dinilai buruk oleh orang lain lebih tinggi daripada rasa tanggungjawab untuk selesaikan masalah secara tulus.
Ada pula orang yang..
Dia tahu apa yang berlaku itu salah. Dia tahu orang itu memang bersalah. Tapi dia tetap pertahankan. Siap serang pula orang yang menegur dan membetulkan.
Inilah yang disebut sebagai cognitive dissonance. Keadaan di mana seseorang tahu sesuatu itu salah, tapi tetap memilih untuk menafikan atau mempertahankan, kerana tidak sanggup berdepan realiti dan rasa bersalah.
Akhirnya, untuk redakan konflik dalaman, dia mula menyerang siapa saja yang mengganggu "naratif selamat" dalam kepalanya. Sedangkan yang salah tetap salah. Walau seribu kali kita pusingkan cerita.
Dan apabila kita berhadapan dengan insan-insan seperti ini setiap hari 😢😢 lebih-lebih lagi jika mereka ialah ahli keluarga, kita sebenarnya bukan sahaja letih secara fizikal, tetapi sedang mengalami keletihan emosi yang tidak kelihatan. The unseen struggle is real guys 💔💔💔
Sebab itu saya sebut..
Saya juga pernah hampir putus asa. Kerana saya juga pernah terlalu lama berusaha menjelaskan kepada manusia yang tidak mahu mendengar. Berusaha menjaga hati manusia yang tidak pernah mahu belajar menjaga hati saya.
Tapi saya pilih untuk terus bertahan. Dan menulis ini supaya sesiapa yang sedang mengalami perkara yang sama... Tahu bahawa mereka tidak bersendirian.
Dan semoga ilmu ini membuka ruang refleksi buat kita semua. Kerana tidak ada manusia yang sempurna... Tapi ada manusia yang memilih untuk memperbaiki diri..
Di usia menghampiri 40 ini juga, baru saya benar-benar faham…
Bahawa emosi bukan sekadar untuk dilayan atau diikut sesuka hati..
Tetapi ia perlu difahami, disedari, dan dipimpin oleh kesedaran dan iman..
Kerana jika emosi tidak ditadbir dengan hikmah..
ia boleh berubah menjadi musuh dalam diri,
yang perlahan-lahan memusnahkan hubungan, menutup akal waras,
dan menghilangkan sinar kebaikan dalam hati kita sendiri.
Saya teringat satu ayat yang sangat menyentuh hati, ketika Nabi Yusuf ‘alayhissalam sendiri mengungkapkan kelemahan fitrah manusia:
۞ وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ ۚ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لَأَمَّارَةٌۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٥٣
"Dan aku tidak menyatakan bahawa diriku suci, sesungguhnya nafsu itu sangat cenderung menyuruh kepada kejahatan,
kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Surah Yusuf: 53)
Ayat ini menjadi pengakuan penuh rendah diri seorang Nabi.. yang mengajarkan kepada kita bahawa mengurus nafsu dan emosi bukan perkara remeh. Ia bukan soal kuat atau lemah, tapi soal siapa yang benar-benar mahu berubah kerana Allah. Sebab semua ni akan dihisab 😢
Nabi Yusuf a.s menyebut ayat ini selepas namanya dibersihkan daripada fitnah dan setelah 'imroatul aziz' sendiri mengakui kesalahannya. Namun, Nabi Yusuf tidak terus meninggikan diri atau berkata, “Aku betul, aku teraniaya.”
Sebaliknya, beliau rendah hati mengakui bahawa setiap manusia, termasuk dirinya, punya nafsu yang mendorong kepada keburukan, dan hanya rahmat Allah yang boleh menyelamatkan seseorang daripada terjatuh. Ini bukan pengakuan kelemahan, tetapi tanda kebesaran jiwa.
Nabi Yusuf mengajarkan kita: jika hati mahu selamat, ia mesti sentiasa sedar potensi nafsu dalam diri.
Sedangkan hari ini, ramai antara kita yang berkata:
“Aku memang begini. Tidak payah ubah aku.”
Ini bukan kekuatan. Ini pertahanan palsu yang dibina oleh ego yang takut disentuh. Manusia yang benar-benar kuat bukan yang kekal dengan sifat lama, tetapi yang sanggup tunduk dan bermujahadah untuk berubah.. walaupun perlahan, walaupun dengan air mata.
Kata-kata “aku memang begini” hanyalah penjara yang dibina untuk menutup luka lama, agar tiada siapa boleh menegur, dan kita tidak perlu menghadap kebenaran.
Jika Nabi Yusuf yang NABI pun tidak rasa diri suci, siapa kita untuk enggan berubah? Enggan berubah bukan tanda kita kuat, hebat. Ia petanda bahawa kita lebih takut kepada perubahan daripada takut kepada kesan buruk jika terus kekal begini. Dan di situlah syaitan menang 😢 bila manusia menyerah kepada egonya, bukan kembali kepada Tuhannya. 😭
Dan jika hari ini, kita membaca semua ciri-ciri itu dan terasa..
“Ini macam aku...”
Maka soalan paling jujur yang perlu kita tanya diri ialah:
Adakah aku mahu terus hidup begini?
Membiarkan setiap hari dilalui dengan dendam yang tidak bernama, menyimpan rasa yang tidak difahami dan mengulang reaksi yang hanya akan memusnahkan hubungan satu demi satu..
Kerana hakikatnya, neuron-neuron otak kita akan terbentuk mengikut tingkah laku yang kita ulang.
Setiap kali kita memilih untuk berfikir buruk, bersangka negatif, atau melenting tanpa memahami, neuro pathway yang terbina akan semakin kukuh. Ia akan menjadi laluan automatik yang sukar diubah jika tidak disedari awal.
Ini dinamakan dalam neurosains sebagai neuroplasticity, yang sebenarnya boleh menjadi rahmat jika digunakan untuk berubah,
atau menjadi azab jika dibiarkan mengukuhkan perangai yang tidak disedari sedang merosakkan.
Semakin lama kita membiarkan amigdala (pusat kawalan emosi) menguasai tindak balas, semakin lemah prefrontal cortex kita; iaitu bahagian otak yang Allah ciptakan untuk menimbang, merenung dan membuat keputusan secara waras.
Akhirnya, kita jadi manusia yang sangat reaktif, defensive, sangat mudah tersinggung,
tetapi sukar diajak berbincang.
Kita mula menyalahkan orang lain atas semua kegagalan komunikasi, padahal kita sendiri yang sedang menolak sebarang ruang untuk memahami.
Dan lebih menyedihkan…
kita mula hidup untuk mempertahankan ego, bukan memperbaiki hubungan.
Takut untuk mengaku salah, kerana bimbang dilihat lemah.
Takut untuk berubah, kerana risau nanti orang akan kata,
“Kenapa baru sekarang? Dulu bukan main.”
Lalu kita kekal begitu.
Dengan sikap yang menyakitkan orang sekeliling, tapi tetap mahu dilayan dengan penuh sabar dan kasih 😮‍💨
Kita lupa…
Setiap sikap yang tidak diubah, akan menuntut bayaran.
Mungkin bukan hari ini..
Tapi satu hari nanti,
kita akan dapati… tiada siapa lagi yang mahu mendengar.
Tiada siapa lagi yang mahu mendekat.
Kerana semua sudah letih.
Dan pada saat itu, barulah kita tahu…
Yang kita sedang kehilangan bukan hanya hubungan…
Tetapi rasa kemanusiaan dalam diri kita sendiri.
Maka hari ini…
jika kita terasa tersindir,
terasa terpukul dengan tulisan ini…
jangan biarkan rasa itu dibungkus dengan alasan, atau ditolak dengan ego yang tidak mahu mengaku.
Kerana hati yang lembut ialah hati yang masih boleh disentuh oleh kebenaran.
Dan manusia yang paling hampir kepada Allah ialah yang paling sedia merendah hati untuk berubah.
Semoga Allah lembutkan hati kita,
dan kuatkan langkah kita untuk mula mengubah apa yang boleh diubah.
Sebelum, kita jadi manusia yang pernah disayangi… tapi akhirnya dijauhi, kerana kita memilih ego lebih dari empati.
Dan luar biasanya…
Lebih 1400 tahun sebelum manusia menemui istilah prefrontal cortex atau neuroplasticity,
Al-Quran telah pun memberi amaran keras tentang ubun-ubun manusia yang berdosa.
كَلَّا لَئِن لَّمْ يَنتَهِ لَنَسْفَعًۢا بِٱلنَّاصِيَةِ ١٥
نَاصِيَةٍۢ كَـٰذِبَةٍ خَاطِئَةٍۢ ١٦
“Ketahuilah! Sungguh jika dia tidak berhenti (dari perbuatannya), nescaya Kami tarik ubun-ubunnya, (iaitu) ubun-ubun yang berdusta lagi durhaka.” Surah Al-‘Alaq, ayat 15–16
Inilah bahagian otak yang saya sebut dari tadi sebagai pusat kawalan pilihan dan pertimbangan. Bahagian paling hadapan yang Allah beri hanya kepada manusia, untuk kekal waras, berfikir dan membuat keputusan.
Tapi bila kita biarkan ego dan emosi liar memegang stereng hidup kita, kita sebenarnya sedang memadam fungsi ubun-ubun itu. Kita biarkan amygdala (pusat emosi reaktif) yang ambil alih segala tindak balas.
Kita jadi seperti Abu Jahal (ayat ini tentang Abu Jahal)..
Ya, kita bukan menolak Islam secara terang-terangan..
tetapi kerana tidak mahu mengaku salah,
kerana terlalu mempertahankan harga diri,
kerana lebih memilih untuk menyerang kebenaran daripada tunduk kepada-Nya.
Abu Jahal bukan jahil.
Dia bukan tidak tahu Nabi Muhammad ﷺ membawa kebenaran.
Bahkan menurut riwayat Ibn Ishaq dan ahli sejarah lain, dia mengakui dalam diam bahawa Al-Quran itu bukan sihir, bukan syair, tetapi wahyu yang luar biasa.
Tapi kenapa dia tetap menentang?
Kerana tidak mahu kalah.
Tidak sanggup lihat kedudukan Bani Hasyim (kaum Nabi) mengatasi Bani Makhzum (kaumnya sendiri)..
Egonya lebih besar daripada hatinya yang tahu kebenaran..
Inilah simbol manusia yang tidak mahu mengaktifkan prefrontal cortex, bahagian otak yang Allah cipta untuk berfikir dengan matang, menilai benar dan salah, dan membuat keputusan secara waras.
Sebaliknya Abu Jahal biarkan amygdala menguasai:
reaktif, melenting, takut jatuh imej…
hingga sanggup memerangi kebenaran yang dia sendiri akui dalam hati.
Sebab itu Allah gunakan istilah sangat keras dalam Surah Al-‘Alaq:
“Kami akan tarik ubun-ubunnya. Ubun-ubun yang berdusta dan durhaka.”
(Al-‘Alaq: 15–16)
Ubun-ubun = tempat prefrontal cortex berada.
Bahagian otak yang Allah beri khusus pada manusia…
tapi bila digunakan untuk sombong, bukan tunduk, ia menjadi sebab kebinasaan.
Bayangkan…
Jika Abu Jahal pun diancam Allah dengan keras hanya kerana enggan tunduk,
bagaimana pula kita yang hari-hari menolak untuk berubah,
sedangkan Allah sudah tunjukkan segala petanda?
Kita marah bila ditegur.
Kita rasa tercabar bila diajak muhasabah..
Kita defensive bila ditegur..
Kita tidak adil dalam menilai, tidak mahu tabayyun..
Kita benci bila orang lain mula berubah, sebab ia terasa seperti sindiran kepada kita yang masih di takuk lama.
Padahal semua itu adalah isyarat kasih sayang dari Allah.
Agar kita segera kembali.
Sebelum ubun-ubun kita benar-benar ditarik bukan lagi sebagai peringatan,
tetapi sebagai hukuman.
Na'udzubillaahi min dzaalik 😭😭😭
Maka sahabat semua..
Hari ini…
Jika terasa seperti ditampar oleh kebenaran,
itulah tanda hati kita masih hidup.
Dan selagi hati masih hidup, kita masih ada harapan.
Semoga Allah beri kita kekuatan untuk tunduk,
bukan kalah… tetapi menang terhadap diri sendiri. Jangan biar nafsu dan syaitan menguasai..
Kerana orang yang berjaya itu bukan yang menang hujah…
tetapi yang berjaya menundukkan egonya demi kebenaran.
Dan kepada sahabat yang menjadi mangsa kepada orang yang begini…
Sama ada sahabat semua sebagai suami, isteri, anak, bapa, ibu, adik, abang, kakak, mertua, menantu, kawan, rakan sekerja, pekerja, majikan… atau siapa sahaja..
Ketahuilah…
Kita bukan lemah kerana tidak membalas.
Kita bukan bodoh kerana masih bersabar.
Dan kita bukan dayus kerana memilih untuk diam.
Ada orang memilih untuk bertahan bukan kerana tidak tahu marah, tetapi kerana tidak mahu menambah luka.
Ada orang memilih untuk terus memberi bukan kerana tidak sedar dirinya dimanipulasi,
tetapi kerana tidak mahu menjadi seperti mereka yang melukai.
Namun ketahuilah sahabat…
Sabar itu bukan bermaksud membiarkan diri terus disakiti.
Kadang-kadang…
Langkah yang paling sabar, adalah berani mengatakan:
“Cukuplah sampai di sini.”
Bukan untuk membalas dendam,
tetapi untuk menyelamatkan jiwa yang hampir mati dalam sunyi dan penafian..
Dan andai kita rasa bersalah untuk menjauh…
Ingatlah…
Allah itu Maha Adil.
Dia melihat segala yang manusia pandang remeh..
Dia tahu kamu sudah lama menanggung dalam diam..
sudah lama berperang dengan emosi sendiri..
sudah lama berharap agar suatu hari nanti, mereka berubah.
Tetapi perubahan itu bukan tanggungjawabmu.
Hidayah itu milik Allah.
Dan untuk berubah, itu keputusan yang hanya boleh dibuat oleh individu itu sendiri.
Kita boleh menasihati.
Kita boleh mendoakan.
Kita boleh menunjukkan teladan.
Tapi kita tidak boleh memaksa hati yang belum sedia.
Namun itu tidak bermaksud kita tidak punya tanggungjawab.
Tanggungjawab kita adalah menjaga diri kita sendiri.
Menjaga akhlak kita.
Menjaga tindak balas kita.
Menjaga cara kita melindungi maruah dan kesejahteraan hati yang Allah amanahkan.
Tanggungjawab kita ialah untuk terus memilih menjadi orang yang berusaha memperbaiki,
bukan membalas dan mengulang kitaran luka yang sama.
Kerana pada akhirnya…
Kita semua akan kembali kepada Allah,
bukan dengan luka yang kita tanggung,
tetapi dengan amalan dan respon yang kita pilih.
Allah tidak akan tanya kenapa mereka tidak berubah…
Tetapi Allah akan tanya:
“Apa yang kamu buat dengan ujian kesakitan itu?”
Adakah kamu memilih untuk belajar daripadanya atau kamu biarkan ia menjadikan kamu keras, dingin, dan pendendam?
Maka hari ini…
Jika kita sedang diuji dengan manusia yang tidak mahu berubah, bertenanglah.
Fokuslah pada apa yang kamu boleh kawal..
hatimu.
niatmu.
doamu.
Dan yakinlah…
Bila kamu menjaga Allah, Allah akan menjaga kamu.
Dan Dia akan beri jalan keluar yang mungkin tidak kita sangka, tetapi sangat kita perlukan.
🤲🤲🤲
Semoga Allah pelihara hati kita..
dan semoga kita tidak berubah menjadi seperti mereka yang melukai itu..
Saya berkongsi di sini.. bukan kerana saya paling tahu.
Tapi kerana saya juga pernah berada di kedua-dua sisi:
sebagai ‘pemangsa’ dan ‘mangsa’. 😭😭😭
sebagai 'yang melukakan' dan 'yang dilukakan' 💔💔💔
Semua yang saya senaraikan di atas,
itu semua pernah menjadi bahagian dari diri saya sendiri…
Sebab itu, bila ada orang cakap begini kepada saya:
“Orang tu sudah biadab macam tu pun kau masih mahu layan bagus-bagus? Masih lagi kau reply baik-baik? Kalau aku… bla bla bla…”
Saya hanya tersenyum.
Bukan kerana saya kuat. Tapi kerana saya sedar sesuatu yang orang lain mungkin tidak nampak.
Saya bermuhasabah..
1. Saya dulu pun pernah begitu.
Pernah jadi orang yang melukakan.
Pernah bertindak dari tempat yang penuh luka, bukan sedar.
Maka hari ini, bila diuji dengan orang yang menyakitkan, saya anggap itu kaffarah.
Allah sedang bersihkan hati saya. Semoga dengan sabar saya kali ini, Allah ampunkan semua khilaf lama saya.
2. Orang yang menzalimi kita bukan jahat. Mereka sedang keliru.
Mereka belum jumpa cara yang betul untuk urus emosi.
Mereka tidak tahu bagaimana mahu meminta perhatian dengan cara yang sihat.
Sebab itu mereka memilih untuk "menyakiti", walaupun mungkin itu bukan niat asal mereka.
Dan bila saya dah faham tentang ini..
kalau saya pun ikut emosi juga..
apa beza saya dengan mereka?
Ilmu bukan untuk menang hujah,
tapi untuk membentuk tindak balas yang lebih matang dan bertanggungjawab.
3. Orang yang menyakiti itu sebenarnya sangat kecil jiwanya.
Sebab itu mereka perlu membesarkan suara, meninggikan ego, menekan orang lain untuk rasa berkuasa.
Maka saya tidak mahu jadi seperti itu lagi.
Kerana saya tahu, jiwa yang besar tidak memerlukan drama untuk dihormati.
4. Saya tidak mahu ubun-ubun saya ditarik Allah kerana ego yang tidak tunduk.
Dalam Al-Quran, Allah tidak pernah beri ancaman keras kepada ubun-ubun yang tak tahu, tapi kepada ubun-ubun yang "mendustakan dan mendurhakai"..
tahu tapi enggan tunduk.
Saya takut…
Bila saya tahu kebenaran tapi masih memilih untuk berkeras..
Allah tarik kemampuan saya untuk berubah.
Maka, lebih baik saya diam dan muhasabah..
daripada terus melawan dengan ego yang menipu diri sendiri.
Saya tidak mahu..
hanya kerana terlalu sibuk mempertahankan maruah… sampai terlupa tunduk kepada-Nya 😢
5. Saya pilih untuk menjadi baik, bukan kerana mereka layak.. tetapi kerana saya mahu layak di sisi Allah.
Saya tidak mahu dibentuk oleh tindakan orang lain..
Saya mahu dibentuk oleh ajaran Rasulullah ﷺ.
Yang tetap memaafkan walau dihina.
Yang tetap mendoakan walau dilukai.
Kerana saya yakin..
setiap kali saya menahan diri dari membalas kejahatan..
Allah sedang menulis satu demi satu darjat kemuliaan ❤️🤲🤲
Mungkin ada yang anggap…
“Mengada-ngada betul asyik cakap pasal emosi…”
Tidak mengapa.
Saya tidak berkecil hati.
Tapi saya mahu ucap tahniah sebab rajin juga baca posting ni.. 😅
Panjangnya ni 🤭
Apapun emosi yang bergejolak bila baca perkongsian ini, ingat.. Itu signal daripada Allah.. Bagaimana kita mahu respon?
Kalau masih rasa defensive..
Benci dengan nasihat..
Akan tiba satu masa nanti..
saat kita sendiri mula terasa beban yang tidak dapat dijelaskan.
Penat tapi tidak tahu kenapa.
Tersenyum tapi jiwa kosong.
Makin rajin solat, tapi hati tetap sesak.
Dan ketika itu barulah kita akan sedar..
bahawa emosi yang tidak disembuhkan, boleh menjadi hijab yang menutup cahaya iman..
dan luka yang tidak ditangani, boleh menjauhkan kita daripada Allah, walaupun kita dekat secara zahir.
Sebab itulah…
Soul to Soul dan Soulful Retreat ini saya usahakan..
bukan sekadar program biasa,
tetapi ruang selamat untuk insan-insan yang sedang mencari nafas baru..
Untuk yang mahu pulih tanpa dihakimi.
Untuk yang mahu kenal diri sendiri, agar lebih dekat dengan Ilahi.
Kerana saya percaya…
Bila hati mula sembuh,
barulah ayat-ayat Allah terasa hidup.
Barulah ibadah menjadi penawar, bukan sekadar rutin.
Semoga kita semua tidak terlalu ego untuk belajar semula cara merasai…
dan tidak terlalu angkuh untuk menangis di hadapan Tuhan.
Dan semoga ubun-ubun kita..
tetap tunduk, bukan kepada tekanan dunia,
tetapi kepada cahaya petunjuk dari-Nya.
Belajar sabar.

Credit to:
Marhamah Rosli
22/06/2025

No comments:

Post a Comment