Nuffnang

Monday, 28 December 2015

H.U.T.A.N.G

Assalamualaikum semua warga pembaca blog Keyza
Aku tanya apa khabar semua????

Heheheh nampak tak tajuk kali ni HUTANG.
Meh kita kupas jawapan bagi persoalan ini.

SOALAN


  1. Seseorang yang berhutang tanpa diketahui oleh warisnya, jika meninggal, tiada siapa yg melunaskan hutang tersebut bagi pihak dirinya, jadi bagaimana dosa hutang yang ditanggung tersebut, adakah diselesaikan di akhirat nanti dgn cara membayar pahala amalan kepada si penghutang
  2. Semasa hidup, kalau kita merasakan kita ada hutang dgn seseorang pada masa lampau tetapi kita telah lupa siapa orang yang menjadi tempat kita berhutang itu atau org tersebut tidak diketahui di mana berada atau tidak diketahui berapa jumlahnya, adakah boleh kita melangsaikan hutang yang sudah dilupai itu dgn cara mengeluarkan sejumlah wang dan disedekahkan (umpamanya utk pembinaan masjid) sbg pelunasan semua hutang yg tidak diingat itu dan wang itu diniatkan sbg sedekah mewakili org yg memberi hutang atau bagi pihak org yg memberi hutang. Adakah hutang tersebut terlunas dengan cara itu.



JAWAPAN 
1.Terdapat hadis menegaskan:


مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

“Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).

Menurut penjelasan ulamak; maksud “mengambil harta orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezkinya sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”. Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.


Abu Hurairah RA menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’. Lalu Nabi bersabda; “Seorang muflis dari kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) ia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah oang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian dari pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya ia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (HR Imam Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).
2.Untuk soalan kedua; hendaklah berusaha mengingati siapa pemilik hutang tersebut,kemudian mencarinya dan menyerahkan kembali wangnya. Jika ia sudah meninggal hendaklah diserahkan kepada waris-warisnya. Jika masih tidak berupaya mengingati siapa pemilik hutang itu atau ia tidak dijumpai setelah puas mencarinya dan begitu juga waris-warisnya juga tidak dijumpai, hendaklah duit hutang itu disedekahkan kepada fakir miskin atau kepada mashalah-maslahah am agama dan kaum muslimin (pembinaan masjid, imarah masjid, pengajian Islam, program dakwah dan seumpamanya) dan diniatkan sedekah itu untuk pemilik hutang tersebut. Namun jika setelah disedekahkan hutang tersebut, tiba-tiba muncul pemiliknya, wajib dibayar hutangnya dan pahala sedekah tadi berpindah menjadi milik orang yang memberinya.

Rujukan:
1.Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami’ as-Saghier), Imam al-Munawi, hadis no. 8351.
2.Minhatul-Bari Fi Khidmati Soheh al-Bukhari (Syeikh Mustafa al-Bugha), hadis no. 2275.
3.Subulus-Salam (Syarah Bulughul-Maram), kitab al-Buyu’ Abwab; as-Salam wa al-Qardh wa ar-Rahn, no. hadis 876.
4.Fatwa Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 132202.

Sumber: http://www.ilmudanulamak.blogspot.my/

Thursday, 10 December 2015

Believe Langkawi

Hai uols....

Last weekend Keyza berkesempatan untuk menghadiri seminar di Langkawi so bila dah dapat peluang ke sana Keyza pun ajak la family bercuti sekali. Keyza bawa mak bersama supaya dia tak terlalu runsing memikirkan pemergian arwah abah pada bulan lalu.

Bila dapat tahu Keyza diarahkan ke seminar di Langkawi makanya tangan pun sibuk la mencari pakej percutian yang menarik untuk bawa anak-anak disana kan. Mommy sibuk nak seminar takkan la nak biarkan anak-anak bosan menunggu je. Dalam pencarian tersebut Keyza terjumpa tentang Believe Langkawi kat Groupon.

Believe Langkawi ni terletak di alamat Lot No. FF 2 & FF 3, Phase 1, Langkawi Fair Shopping Mall Kuah, 07000 Langkawi Kedah Darul Aman. Landmark nya betul-betul berhadapan dengan jalan nak ke Dataran Lang tu. So dengan masa yang terhad sebab jadual seminar yang agak padat Keyza terpaksa la cari tempat yang berdekatan dengan Kuah je takut terlepas feri hehhehehe.

Harga asal untuk masuk Believe Langkawi ni adalah seperti gambar bawah ni:
sumber: http://www.believelangkawi.com/about-us.html

Tak la mahal sangat kan? Tapi bila tengok kat Groupon pakej yang Keyza dapat adalah seprti berikut



sumber : http://www.groupon.my/deals/klang-valley-kuala-lumpur/believe-museum-2/721101469


Keyza dapatlah jimat RM25 untuk masuk ke sini kan....huhuhu nak jimat ajew la sekarang ni kan.
Believe Langkawi ni ibarat seperti muzium 5D yang mempunyai kepelbagaian tema untuk seni cetak serta arca. Believe Langkawi ni dilancarkan pada Disember 2014. So meh ushar gambar yang sempat Keyza snap masa merayau-rayau dalam ni. Kadar kecantikan gambar anda bergantung kepada kreativiti masing-masing la yerrr...



Believe Langkawi ni beroperasi dari jam 10am to 8pm setiap hari (Last entry: 7.30pm). Dok dalam ni memang tak tengok jam punya sebab nak adjust angle kamera tu kan almaklum la tak berapa nak pro kameraman nya. Tapi jurufoto rasmi Believe Langkawi ni memang terer la dorang akan snap gak gambar kita so at the last point kita pilih la nak beli ke tak gambar tu. 
Nak kat mug harganya RM30 kalau nak frame 4R RM10/foto je kalau nak besar lagi 3 gambar RM50. 

Yang pasti anak-anak enjoy la walaupun mommy g sini tujuannya bekerja. Dalam kesedihan mengenangkan pemergian arwah abah kita yang hidup harus juga menjalani kehidupan ini seperti biasa. Actually this is our planning to end up this year with the trip to Langkawi with abah  tapi tak sempat abah dah pergi dulu. Alfatihah buat arwah abah semoga rohnya tenang di sana. In Sya Allah Keyza akan pastikan mak sentiasa happy menjalani kehidupan seharian dan kami tak akan lupa membuat amalan kebajikan untuk disedekahkan kepada abah. 

Tuesday, 8 December 2015

Tarikh Pembayaran Gaji Bulanan Kakitangan Awam 2016


Bulan
Tarikh Gaji
Hari
Catatan
Januari 21.01.2016 Khamis ---
Februari 25.02.2016 Khamis Tahun Baru Cina
8 - 9/2/2016
Mac 24.03.2016 Khamis ---
April 25.04.2016 Isnin ---
Mei 24.05.2016 Selasa Pesta Keamatan/Menuai
30 - 31/5/2016
Jun 23.06.2016 Khamis Hari Gawai
1 - 2/6/2016
Julai 25.07.2016 Isnin Hari Raya Puasa
6 -  7/7/2016
Ogos 25.08.2016 Khamis ---
September 22.09.2016 Khamis Hari Raya Haji
12/9/2016
Oktober 20.10.2016 Khamis Hari Deepavali
29/10/2016
November 24.11.2016 Khamis ---
Disember 20.12.2016 Selasa Hari Krismas
25/12/2016

Pejam celik pejam celik kejap je masa berlalu jadual gaji 2016 dah keluar dengan rasminya.
Dok ushar jadual ni nampak tiada bulan yang gaji diawalkan makanya belanjawan bulanan bagi tahun 2016 akan berjalan lancar hendaknya.
Sumber rujukan : Jabatan Akauntan Negara

Wednesday, 2 December 2015

Tanda-Tanda Kematian

Assalamualaikum warga pembaca sekalian....
Pepagi ni Keyza terbaca tentang mati, benda baik perlu la dikongsi bersama kan...


USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL : Ahli Penal Syariah HPA

Soalan:
Assalammualaikum, tersebar dalam internet mengenai tanda-tanda sebelum ajal menjelang bagi umat Islam seperti 100 hari sebelum mati badan akan mengalami getaran sesudah asar, 40 hari sebelum meninggal akan berdenyut pusat, juga berlaku sesudah asar. soalannya, sejauh manakah kesahihan tanda-tanda ini sedang tidak diketemui sebarang nas atau dalil dari Al-Quran atau Sunnah. Sedang ada yang mengatakan ia pandangan segelintir ulama. Dan apakah hukum jika ia dijadi iktiqad? dan apakah hukum jika menolaknya? Sekian.

Jawapan:
Sesuatu yang tidak sabit dengan nas dari al-Quran atau as-Sunnah, tidak harus dijadikan iqtiqad. Termasuklah juga perkara-perkara ghaib. Urusan aqidah dan kepercayaan adalah urusan agama. Oleh itu, tiada siapapun harus mendakwa sesuatu itu sebagai keyakinan agama atau amalan agama melainkan ia wajib mendatangkan dalil yang soheh dari al-Quran atau as-Sunnah. Sabda Nabi -sallallahu alaihi wasallam-; “Sesiapa mereka-reka dalam urusan kami ini (yakni urusan agama) apa-apa yang bukan darinya, maka ia adalah tertolak”. Adapun suatu dakwaan yang dibuat atas dasar pengalaman, kajian, penelitian dan sebagainya -bukan atas dasar agama-, itu terserah kepada setiap individu sama ada untuk menerima atau menolaknya berpandukan penilaian akal masing-masing.
Kesimpulannya, orang yang mendakwa tanda-tanda kematian itu adalah dari agama, wajiblah ia mendatangkan dalil dari al-Quran atau as-Sunnah. Jika ia mendakwa ianya dari pengalaman atau penelitian, terserahlah kepada masing-masing untuk mempercayainya atau tidak.

Tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah)
Apa yang jelas terdapat nas tentangnya ialah tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah) iaitu:
1. Mati dengan mengucap kalimah syahadah
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
مَنْ كَان آخِرَ كَلامِه لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ دَخَلَ الجَنَّةَ
“Sesiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum mati) ialah Lailahaillallah, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Mu’az bin Jabar –radhiyallahu ‘anhu-. Kata al-Hakim; Hadis ini sanadnya soheh.)
2. Berpeluh di dahi
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
اَلْمُؤْمِنُ يَمُوْتُ بِعَرَقِ الْجَبِيْنِ
“Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim dari Buraidah –radhiyallahu ‘anhu. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Menurut al-Hakim; hadis ini adalah soheh. Tashih al-Hakim itu dipersetujui Imam az-Zahabi. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9145))
Maksud hadis di atas ialah; jika kelihatan pada dahi si mati renik-renik peluh, maka itu tanda bahawa ia mati dalam iman. Sebab terjadinya renik-renik peluh itu menurut sebahagian ulamak ialah kerana malunya kepada Allah yang memberi rahmat kepadanya sedangkan masih ada dosanya kepada Allah. Sebahagian ulamak pula berkata; orang mukmin tidak terlepas dari merasai kepayahan ketika mati, namun kepayahan yang dihadapinya ringan sahaja iaitu hanya sekadar kepayahan yang menerbitkan peluh yang berpercikan pada dahi. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9145)
Dalam satu hadis yang lain, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;
لَقِّنُوْا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ فَإِنَّ نَفْسَ الْمُؤْمِنِ تَخْرُجُ رَشْحًا وَنَفْسُ الْكَافِرِ تَخْرُجُ مِنْ شِدْقِهِ كَمَا تَخْرُجُ نَفْسُ الْحِمَارِ‏
“Ajarilah orang yang hampir mati di antara kamu Lailahaillallah. Sesungguhnya ruh orang beriman akan keluar dengan bercucuran peluhnya. Adapun ruh orang kafir akan keluar dari rahangnya sebagaimana keluarnya ruh kaldai”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-. Kata Imam al-Haithami; sanad hadis ini adalah hasan. (Lihat; al-Asas Fi as-Sunnah, Sa’id Hawa, jil. 3, hlm. 1164, hadis no. 1112)).
3. Mati ketika sedang melakukan amal soleh
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ صَامَ يَوْمًا اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Sesiapa mengucapkan Lailahaillallah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati dengan kalimah itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa berpuasa pada satu hari kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati ketika sedang berpuasa itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa bersedekah dengan satu sedekah kerana mencari redha Allah, lalu ia mati sesudah bersedekah itu, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam Ahmad dari Huzaifah –radhiyallahu ‘anhu-. Berkata Imam al-Haithami di dalam Majma’ az-Zawaid; “Para perawi hadis ini adalah tsiqah”. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini adalah soheh. (Lihat; Ahkam al-Janaiz)).
(Tuan-tuan/puan-puan yang ingin membaca lebih lanjut tentang kematian dan hal-hal berkait dengannya boleh dapatkan buku tulisan saya “Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh”. Ebook sila dapatkan di (http://ebook-ilmudanulamak.blogspot.com/)).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1.Rahsia Kematian, Alam Barzakh & Roh, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.

Sumber: http://fitrahislami.wordpress.com/

Wednesday, 25 November 2015

Kita Hanya Mampu Merancang Allah Penentu Segalanya

Assalamualaikum...pagi ini Keyza terbaca status hamba allah di facebook dan terkesan di hati Keyza nak kongsikan apa yang ditulisnya....Moh kita baca bersama

Kita hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan. Sehebat mana pun perancangan kita, lebih hebat lagi perancangan Allah untuk kita.
Ingat! kita ada ALLAH yang MAHA BERKUASA. Tidak di berikan sesuatu dengan sia-sia. Tidak di jadikan apa-apapun tanpa sebab dan ibrah. Kita merancang dengan kata-kata dan pena, tapi Allah merancang dengan kasih sayang-Nya. Kita sering berdoa,sehingga menangis meminta dari ALLAH.

Kita kerap solat dan adakalnya tiada harinya selewat sebelum subuh untuk bangun mengejarkan Tahajjud dan hajat. Kita kerap melakukan amal ibadah yang baik sehingga ada masanya merasakan tiada titik hitam dalam hati. Tapi kenapa ALLAH sering sahaja tidak penuhi apa yang di hajati? kenapa ALLAH tidak tunai apa yang kita minta? Adakalanya kita lihat mereka yang sering abai tanggungjawab sebagai seorang hamba ALLAH sering ALLAH beri kesempatan pada dia untuk mendapat yang terbaik.

APA YANG PERLU KITA BUAT??!!

Ingatlah bahasanya ALLAH tidak melakukan sesuatu itu dengan sia-sia. Sahabat,Setiap yang ALLAH jadikan di muka Bumi ini bukan lah sia-sia. ALLAH jadikan segala kejadian di muka bumi ini ada hikmahnya dan ingatlah bahawa ALLAH tidak menjadikan dugaan yang kita terima itu adalah sia-sia. Pernah atau tidak kita berfikir betapa ALLAH sayangkan kita setiap kali kita di timpa musibah walaupun kita sering berdoa pada ALLAH? Ingat lah sahabat sekalian ALLAH tidak akan menguji hambanya dengan ujian yang hambanya tidak mampu untuk lakukan. Tenang kan hati dengan zikruLLAH –

Sahabat, ALLAH berfirman dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 41 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! ingatlah kepada ALLAH dengan mengingat sebanyak-banyaknya”, InsyALLAH dengan adanya zikir dalam hati dapat mengahalang kita dari berprasangka buruk pada ALLAH S.W.T. Sentiasa ingat bahawa ALLAH adalah SEBAIK-BAIK PERANCANG.

Sabahat, ALLAH berfirman.. “Dan Mereka Merancang,ALLAH juga merancang, Sesungguhnya ALLAH sebaik-baik perancang”. Ingatlah sahabat, ALLAH mengetahui apa yang terbaik buat kita semua, mungkin dengan apa yang lalui itu bukan jalan yang terbaik,maka ALLAH sediakan jalan yang lebih baik dari apa yang kita hajatkan,ingat tu sahabat!! ALLAH SEBAIK-BAIK PERANCANG!!! Jangan berhenti Untuk Berdoa dan terus berdoa.

Sahabat, hadis Nabi Muhammad S.A.W yang membawa maksud “pedang umat mu’min itu pada doanya” dan ALLAH juga berfirman dalam al-Quran dalam surah al-mu’min yang mambawa maksud “Dan tuhanmu berfirman : Berdoalah kepada ku,nescaya pasti aku akan perkenankan..”..Sahabat,ini janji ALLAH,mana mungkin ALLAH tidak mengotakan janjinya, pasti ALLAH mendengar setiap rintihan doa dari kita. Namun,pasti sahaja dari kalangan kita terdetik dalam hati berkaitan dengan surah al-mu’min ayat yang ke 60. Pasti ada kalangan kita yang berkata…“aku dah banyak kali berdoa,tapi ALLAH tak makbulkan juga”…

MasyALLAH sahabat sekalian ketahuilah bahawa sesungguhnya ALLAH suka akan rintihan hamba-hambanya tatkala kita berdoa kepada-Nya,ALLAH rindu untuk mendengar suara kita merintih mengharapkan hajat kita di perkenankan. ALLAH rindu akan doa2 umat islam,sengaja ALLAH melambatkan perkenan doa kita kerana yang utamanya ALLAH rindu akan rintihan hamba-hamba-Nya. ALLAH sebaik-baik perancang. Jangan lah sesekali kita menyalahkan takdir. Ingatlah sahabat.. ALLAH sebaik-baik perancangan.

Setiap manusia akan di uji dan terus di uji dan yang menentukan kita adalah TAQWA kita pada ALLAH dalam ujian tersebut dan pandulah ujian itu dengan panduan yang di redhoi ALLAH.


"Allah tidak pernah silap percaturannya walaupun kadang kala nampak salah di mata kita suatu hari nanti kita akan faham semua takdir Allah. Jangan sesekali menyesal dengan takdir Allah. Apa yang ditakdirkan Allah adalah yang terbaik buat hambaNya." INGAT!!!


Wednesday, 18 November 2015

Lirik Lagu Kau Pergi Jua


Kau pergi jua
Dari hidup ku
Kini sendiri
Di hari-hariku

Pulang ke dakapanku
Aku ingin kau selalunya di sini
Hanya hadirmu bisa menyatukan masa kita berdua

Kau pergi jua
Dari hidup ku
Kini sendiri
Di hari-hariku

Pulang ke dakapanku
Aku ingin kau selalunya di sini
Hanya hadirmu bisa melenyapkan segala sunyi di sini

Pulang ke dakapanku
Aku ingin kau selalunya di sini
Hanya hadirmu bisa menyatukan masa kita berdua

Pulang ke dakapanku
Aku ingin kau selalunya di sini
Hanya hadirmu bisa melenyapkan segala sunyi di sini

Kau pergi jua
Kau pergi jua
Kini sendiri di hari-hariku
Kini sendiri di hari-hariku

Tribute this song for my abah....i miss you so much....ALFATIHAH

Tuesday, 17 November 2015

Tinta Buat Abah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saat Keyza menaip ini airmata masih lagi mengalir panas membasahi pipi mengingati abah (Hassan bin Othman) yang telah kembali ke rahmatullah tanggal 8 November 2015, Ahad bersamaan 26 Muharam 1437H.

 اِنّا لِلّهِ وَاِنّا اِلَيْهِ رَجِعُوْنَ (“Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali”.)

Jam 5.00 pagi aku dikejutkan oleh tangisan kakak sulungku mengatakan abah telah tiada. Allahuakhbar hati masih lagi meragui tatkala memegang pergelangan tangan abah masih panas dan berdenyut nadinya cuma wajah abah dah kaku membisu terus aku memeluk mak yang setia disisi abah sepanjang malam itu. Mak seolah tau abah akan pergi untuk selamanya. Laju kaki melangkah ke bilik air mandi dan mengambil wudhuk solat tahajjud 2 rakaat dan terus kembali pada abah membaca yassin hadiah kepadanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.



Jam 5.30 pagi suami Keyza dan abang ipar terus ke surau menunaikan solat subuh dan memaklumkan pada warga surau tentang abah. Selesai solat Subuh rumah telah dipenuhi warga surau membantu kami membersihkan abah sebelum perkara wajib dilaksanakan. Tepat jam 7.00 pagi Keyza dan suami terus membawa kad pengenalan abah ke balai polis Sungai Petani untuk membuat laporan kematian. Selesai laporan dibuat terus pulang ke rumah saat itu rumah telah dipenuhi saudara mara jauh dan dekat. Keyza hanya mampu membaca Al-Quran disisi abah ...tak tahu la betul atau tak nahunya kerana bacaan diselangi airmata yang menderu laju tanpa mampu diseka. Tepat jam 10.00 pagi abah dimandikan buat kali terakhir oleh para alim dan dibantu oleh abang kandung ku bersama anak-anak dan menantu lelaki abah. Semunya diuruskan dirumah sahaja. Selesai dimandikan abah dikafankan dengan pakaian terakhir buat abah...wajah abah sangat tenang dan bersih hilang semua kesakitan yang dirasainya selama 22 hari itu. Wajah abah berseri sangat cantik sangat abah seperti bayi yang baru dilahirkan terasa begitu singkat waktu bersama abah semoga segala kesakitan yang abah hadapi sebelum sakaratul maut menghapus dosa-dosa abah. Sayu hati nak membiarkan abah pergi dari sisi kami selamanya. Airmata diseka segera tatkala imam menyuruh kami waris abah memberi ciuman terakhir buat abah.
Sebak dada tidak dapat dibendung. Sungguh Keyza tak mampu berpisah dengan abah tapi Keyza harus redha Allah lebih menyayangi abah. Mungkin itu yang terbaik buat abah. 

Masih terimbau saat abah bersama Keyza ...saat-saat terakhir abah bersama kami sebelum abah rebah diserang strok.
Tanggal 13 Oktober 2015 Keyza ditugaskan untuk membuat lawatan kerja di Kedah pada 15-16 Oktober, makanya 14 Oktober 2015 sempena Cuti Awal Muharam kami adik beradik terus plan untuk membuat majlis bagi meraikan birthday mak dan anak2 mengambil kesempatan sebab Keyza dapat pulang membawa mak n abah ke kampung. Sepanjang majlis abah asyik bersendirian tidak bersama anak-anak yang lain dan juga mak. Abah makan sendirian cuma sekali abah datang kat mak untuk bergambar masa sesi potong kek...maybe itu gambar terakhir abah tersenyum disisi mak.


Abah asyik tanya bila nak balik ke Kedah dan Keyza menjawab lepas Asar kita balik Kedah diulang lagi pertanyaan yang sama seusai solat Asar kami pulang ke Kedah sebab 15 Oktober Keyza akan mula bertugas Keyza tak jadi tidur di hotel sebab dah terlalu letih menguruskan majlis di siang hari. Alhamdulillah tugas di Kedah hanya mengambil masa sehari untuk diselesaikan malam abah datang jemput Keyza di tempat tugasan untuk makan malam bersama rakan setugas. Mak cakap abah dah lain pegang sudu pun dah menggigil hati mula tak sedap abah jalan tak pakai kasut sebelah rupanya tanda awal abah diserang strok. Pagi Jumaat 16 Oktober suami ajak Keyza pulang ke rumah maknya di Changlun masa tu abah dah tak larat sangat selesai solat tahajud, sunat taubat dan witir abah langsung tak tido menunggu waktu subuh selesai solat subuh abah tak mampu lagi untuk bangun. Mak papah abah ke katil dan Keyza suapkan abah makan pagi. berat sungguh kaki nak melangkah ke rumah mertua tapi demi menjaga hati suami Keyza pergi juga mak call abah makin sukar nak makan. Allahuakhbar menangis Keyza depan mertua dan pagi Sabtu juga Keyza balik ke rumah. Miza plan nak cuti untuk jaga abah tapi abah kata nak ikut balik Perak dalam keadaan abah camtu abah masih fikirkan kerjaya Keyza taknak Keyza asyik bercuti untuk jaga dia ...sayangnya abah kat Keyza hanya Allah yang mampu membalasnya. :'(
3 hari abah dalam keadaan strok dah lemah...suatu malam abah bangun jam 4.00 pagi keluar rumah dan naik ke tingkat atas dan tidur depan rumah kosong, mak tersedar dan tengok abah takde kat sisi Keyza dan suami keluar cari abah rupanya abah tidur depan rumah orang nasib abah tak jatuh tangga, Allah SWT lindungi abah. Alhamdulillah ...siangnya mak ajak ke klinik sebab badan abah panas sangat tapi sampai di klinik Doktor minta abah dapatkan rawatan di hospital. Keadaan abah dan makin tenat mak refuse tapi Keyza terpaksa bawa abah tak nak abah makin tenat. Sampai Hospital Slim River  doktor sarankan abah untuk jalani ujian CT Scan di Hospital Ipoh. Mak nangis lagi sebab kedegilan Keyza membawa abah ke hospital. Keputusan CT Scan agak mengejutkan bila pakar otak mengatakan berlaku pendarahan serius dan pembedahan perlu dilakukan segera dan Keyza bertanyakan adakah risiko bagi pembedahan tersebut dan jawapannya "YA" nisbah untuk abah selamat hanya 50:50 dan kalau abah tak dibedah pun abah akan koma atau pergi untuk selamanya. Keyza dan mak memutuskan untuk abah tidak dibedah dan doktor menasihatkan agar kami bersedia apa jua keadaan abah. 2 hari abah di hospital dan abah dibenarkan pulang.

Mak bawa balik terus ke Kedah rumah abah...abah hanya boleh minum susu melalui tiup kerana abah dah tak mampu untuk mengunyah seperti biasa. Mak marah Keyza sebabnya sebelum ke hospital abah masih mampu makan seperti biasa tapi selepas ke hospital abah dah tak mampu buat semua tu. Sebelum ke hospital abah masih mampu ke tandas sendiri walaupun strok sebelah tapi lepas ke hospital abah kena pakai pampers. 
Sungguh Keyza rasa serba salah. 
Betulkah kalau Keyza tak bawa abah ke hospital hari ini abah masih ada disisi? 
Betulkah kalau Keyza tak bawa abah ke hospital abah akan kembali sihat lagi? 

Yang pasti kini abah sudah tiada lagi disisi. Abah kembali kepada penciptaNYA Ya Rabb. Kami perlu redha dengan pemergian abah dan pasti kami juga akan menyusuli abah nanti. Semoga dipertemukan lagi mungkin Syurga yang menanti. 
Yang mampu Keyza buat kini hanya titipkan doa kudus dan amalan yang berterusan buat abah.


Terkadang Allah hilangkan sesuatu yang kita sayang,
kerana Allah sedang menggantikan sesuatu yang lebih indah untuk kita.
In sya Allah (إن شاء الله)
Sungguh Keyza sayang abah dunia akhirat.
Abah
sepi saat kau pergi
kau begitu hebat
tak ada yang bisa menyamai mu
ataupun menggantikan posisimu
Abah
aku begitu menyayangimu
keringatmu menjadi inspirasiku
sedihmu adalah deritaku
Abah
dimanapun engkau berada
doaku selalu bersamamu
tangisku menjadi sumpahku
bahwa apapun yang terjadi ku slalu ingatmu 


Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil.

I love you Abah HASSAN BIN OTHMAN
5 MAC 1938 - 8 NOV 2015 (Dalam kenangan)